Mula Sini / Kuala Terengganu / 27 Tempat Menarik di Kuala Terengganu Paling Popular Tahun 2020

Pertama kali melancong ke Kuala Terengganu & tak tahu apa yang menarik di sini ? Jangan risau. Kesemuanya sudah terhidang di depan mata anda. Jom kita terokai 27 tempat-tempat menarik di Kuala Terengganu yang sering dikunjungi pelancong terutamanya yang berdekatan dengan Bandar KT, bandaraya warisan pesisir pantai.

Tahukah anda, setiap kali cuti sekolah hujung tahun, daerah Kuala Terengganu merupakan destinasi pelancongan yang paling meriah di Terengganu berbanding daerah-daerah lain. Mana tidaknya, waktu musim tengkujuh, mana mungkin pelancong-pelancong boleh pergi bercuti ke pulau-pulau, hutan lipur, Tasik Kenyir atau di kawasan air terjun.

Jadi, Kuala Terengganu adalah destinasi yang paling ideal untuk dilawati jika anda ingin bercuti ke Terengganu pada musim cuti sekolah hujung tahun. Walaupun pada musim tengkujuh, percayalah masih banyak aktiviti-aktiviti menarik yang boleh dilakukan bersama keluarga.


1. Terengganu Draw Bridge

Sebuah mercu tanda millenium baru untuk Negeri Terengganu. Jambatan angkat Terengganu ini semestinya anda lawati jika bercuti di Kuala Terengganu bersama anak-anak. Pengunjung boleh naik ke atas menara jambatan ini untuk melihat pemandangan Laut China Selatan & Bandaraya Kuala Terengganu. Sudah puas menikmati pemandangan dari sudut yang tinggi, bolehlah pula selepas itu menaik water taxi untuk melihat keindahan muara Sungai Terengganu & Terengganu Draw Bridge dari sudut yang berbeza. Jika anda inginkan pemandangan yang menarik, datanglah waktu pagi ketika matahari sedang naik.
[ baca seterusnya.. ]

Alamat: Terengganu Drawbridge, 20000 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: 10 am – 10 pm ( Isnin-Ahad )
Harga Tiket: Dewasa RM 5 | Kanak² RM 5


2. Taman Tamadun Islam

taman tamadun islam terengganu

kredit: tti.com.my

Jika bercuti ke Kuala Terengganu bersama keluarga & anak-anak, sudah tentu destinasi yang memberi ilmu menjadi pilihan yang ideal. Taman Tamadun Islam yang terletak di Pulau Wan Man semestinya dimasukkan kedalam jadual percutian anda kerana di sini anda seisi keluarga boleh melihat lebih 21 monumen bersejarah & bangunan ikonik Islam. Monumen-monumen seperti Kota Lama Islam Aleppo, Masjidil Haram & sebagainya semuanya dibina pada sekala yang lebih kecil & membolehkan anda melihat keunikan senibina daripada pandangan yang menyeluruh. Hebat bukan ? Dengan hanya bercuti ke satu destinasi sahaja, anda sudah boleh melihat majoriti bangunan menarik seluruh dunia. Sudah penat berjalan-jalan, cubalah pula river cruise dengan menyelusuri Sungai Terengganu yang sangat luas & mendamaikan.
[ baca seterusnya..]

Alamat: Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Losong Panglima Perang, 21000 Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman
Waktu Operasi: 8.30 am – 4.30 pm (setiap hari)
Harga Tiket: Dewasa RM 20 | Kanak² (7-12 tahun) RM 16 | Kanak² (<6 tahun) Percuma


3. Pasar Besar Kedai Payang

pasar besar payang Bagi pelancong yang ingin menyelami keunikan budaya orang setempat, apa kata anda terokai Pasar Besar Kedai Payang. Destinasi ini merupakan tempat menarik di Kuala Terengganu yang telah wujud berdekad lamanya & ianya masih menjadi salah satu tarikan pelancong yang popular di KT. Pasar Kedai Payang terbahagi kepada kawasan produk basah & produk kering. Pendek cerita, apa jua hasil laut, hasil tani & makanan kenegerian orang Terengganu yang anda nak beli, semuanya ada di sini. Untuk ole-ole makanan, anda boleh beli keropok lekor, rempah nasi dagang, ikan masin & sebagainya. Jika anda mencari idea terbaik untuk beli hadiah, di Pasar Kedai Payang turut ada lot-lot kedai yang menjual produk kraftangan yang berkualiti seperti kain sutera, songket Terengganu, batik Terengganu atau pun baju pakaian harian. Jika berkunjung ke sini waktu pagi atau petang, bolehlah pula jalan-jalan sekitar Pasar Payang ini yang sangat kencang anginnnya.
[ baca seterusnya..]

Alamat: Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu, 20100 , Terengganu
Waktu Operasi: 8 am – 6 pm (setiap hari)


4. TTI River Cruise

bercuti di kuala terengganu

kredit foto:tti.com.my

Serabut dengan kesesekan lalu lintas di kota ? Apa kata anda terapi diri anda sekeluarga dengan menikmati keindahan Sungai Terengganu dengan menaiki bot. Sepanjang menyelusuri Sungai Terengganu ini, anda boleh melihat beberapa ikon pelancongan Kuala Terengganu seperti Masjid Kristal, perkampungan nelayan, Bukit Besar, Pasar Kedai Payang & sebagainya. Jika anda cuba aktiviti ini waktu petang, anda pasti kesejukan kerana bayu laut yang begitu kuat bertiup.
[ baca seterusnya.. ]

Alamat:  Pulau Wan Man, Losong Panglima Perang, 21000 Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman
Waktu Operasi: 10am – 7pm ( Isnin, Rabu, Khamis ) | 9am – 7pm ( Jumaat, Sabtu, Ahad & Cuti Umum)
Harga Tiket: Dewasa RM 23 | Kanak² (7-12 tahun) RM 17 | Kanak² (<7 tahun) Percuma | Warga Emas ( >60 tahun) RM 17


5. Muzium Negeri Terengganu

muzium negeri terengganu

foto kredit: muzium terengganu

Muzium Terengganu bukan sahaja muzium bersejarah yang terbesar di Malaysia, malah ianya juga merupakan muzium yang terbesar di Asia Tenggara. Jika anda ingin menyelami sejarah negeri Terengganu samaada dari sudut ekonomi, budaya, agama, peradaban & kesenian, Muzium Negeri Terengganu adalah destinasi paling ideal untuk anda. Anda bukan sahaja akan kagum dengan koleksi bahan bersejarah & artifak di sini, malah anda juga akan kagum melihat keindahan senibina Muzium Negeri Terengganu ini yang tidak ubah seperti sebuah istana mega klasik orang Melayu seperti zaman silam. Landskap taman di Muzium Terengganu juga sangat cantik & pasti membuatkan anda tidak sabar-sabar untuk berfoto.
[ baca seterusnya.. ]

Alamat: Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Bukit Losong, 20566 Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman
Waktu Operasi: 9 am – 5 pm (Sabtu-Khamis) | Jumaat tutup
Harga Tiket: Dewasa RM 5 | Kanak² (7-15 tahun) RM 2 | Kanak² (<7 tahun) Percuma | Pelajar RM 1


6. Masjid Kristal

masjid kristal kuala terengganu

foto kredit: tti.com.my

Sebuah binaan masjid yang sangat unik. Seperti namanya, masjid ini kelihatan seakan kristal besar yang kelihatan sangat memukau terutamanya pada waktu siang. Kilauan bangunan Masjid Kristal bagaikan istana yang wujud dalam cerita dogeng. Mungkinkah hamparan kaca untuk Puteri Balqis sebegini rupanya ? Lokasi Masjid Kristal yang terbina di atas Sungai Terengganu membuatkan ianya kelihatan terapung di atas air. Jika menyelusuri Jambatan Sultan Mahmud waktu malam, anda boleh lihat keindahan lampu warna warni yang menghiasi segenap pelosok masjid ini. Pemandangan binaan manusia yang cukup mengagumkan.
[ baca seterusnya.. ]

Alamat: Masjid Kristal, Pulau Wan Man, 21000 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: 6 am – 11 pm (setiap hari)
Harga Tiket: Percuma


7. Pusat Sains Kuala Terengganu

Bercuti ke Kuala Terengganu bersama anak-anak atau pelajar sekolah ? Jangan berfikir panjang, masukkan destinasi ini ke dalam jadual perjalanan anda ke Kuala Terengganu. Pusat Sains Kuala Terengganu menawarkan pelbagai tarikan berunsurkan sains & teknologi yang sangat interaktif untuk kecerdasan anak-anak. Bahkan, tarikan & permainan di sini juga kadang-kadang boleh menguji kecerdasan orang dewasa. Lokasinya sangat strategik di Chendering & hanya 10 minit memandu dari Bandar Kuala Terengganu. Anda juga boleh naik bas awam untuk ke sini.
[ baca seterusnya.. ]

Alamat: Jalan Kampung Laut, Taman Chendering Utama, 21080 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: 9am – 5pm (Sabtu-Rabu) | 9am – 4pm (Khamis) | Jumaat Tutup
Harga Tiket: Dewasa (>18 thn) RM 12 | Pelajar (5-17 thn) RM 10 | Kanak² (3-4 thn) RM 3


8. Masjid Tengku Tengah Zaharah ( Masjid Terapung)

masjid terapung kuala terengganu

foto kredit: photorich studio

Masjid yang berdekad usianya ini masih kekal utuh berdiri di atas laguna air di Kuala Ibai, Kuala Terengganu. Masjid Terapung Terengganu ini hanya terletak sekitar 5 minit dari Pantai Batu Buruk & ianya menjadi masjid di Kuala Terengganu yang paling popular di kalangan pelancong kerana keindahannya. Ramai kaki lensa kamera yang berkunjung ke Kuala Terengganu akan ke masjid ini untuk berkarya. Tidak hairanlah, setiap kali cuti panjang, ramai pengantin baru akan ke sini untuk adakan wedding photoshoot. Sudah puas melihat masjid terapung ini, bolehlah pula anda jalan kaki sahaja ke muara Sungai Kuala Ibai untuk santai petang sambil menimati bayu Laut China Selatan.
[ baca seterusnya.. ]

Alamat: Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai, 20400, Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: 6 am – 11 pm (setiap hari)
Harga Tiket: Percuma


9. Pantai Batu Buruk

pantai batu buruk kuala terengganu

foto kredit: reena suhaimi

Pantai rekreasi di Kuala Terengganu yang paling popular & paling mudah untuk anda lawati. Pantai Batu Buruk bukanlan pantai yang ideal jika anda ingin mandi manda kerana permukaan dasarnya yang tidak rata & ombaknya juga sangat kuat. Destinasi pantai ini lebih ideal untuk pelancong berkunjung bersama keluarga untuk aktiviti rekreasi & santai-santai. Berdekatan Pantai Batu Buruk ini juga terdapat taman permainan kanak-kanak yang besar & juga trek jogging yang sesuai untuk anda beriadah. Jika lapar, jangan risau. Pilihan restoran & gerai-gerai yang menjual makanan santai orang Terengganu juga banyak di sini. Samaada keropok lekor, satey ikan, sotong kering atau nasi dagang, semuanya ada.
[ baca seterusnya.. ]

Alamat: Pantai Batu Buruk, 20400, Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: 24 jam
Harga Tiket: Percuma


10. Pantai Pandak / Pantai Chendering

pantai pandak chendering terengganu

foto kredit: ajak photography

Jika teringin untuk bermain air pantai, salah satu pantai yang terbaik adalah di Pantai Pandak yang terletak di Chendering. Tidak seperti Pantai Batu Buruk, permukaan dasar pantai di sini lebih landai & ombaknya juga tidak kuat. Untuk ke sini, anda perlu melalui jalan kampung yang agak sempit, tetapi dekat sahaja. Pantai terpencil ini pasti memberikan anda seribu satu ketenangan kerana persekitaran yang damai & terpencil seolah-olah sedang bercuti di pulau. Berdekatan pantai ini juga terdapat struktur permukaan berbatu & sangat menarik untuk anda berfotografi. Jika inginkan foto yang lebih menarik, datang awal pagi ketika matahari masih di kaki langit.
[ baca seterusnya..]

Alamat: Pantai Pandak, 21080, Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: 24 jam
Harga Tiket: Percuma


11. Pantai Teluk Ketapang / Pantai Airport

pantai teluk ketapang kt

foto kredit: faizal mdismail

Satu lagi tempat menarik tepi pantai di Kuala Terengganu yang sangat popular untuk aktiviti riadah petang. Pantai ini turut dikenali di kalangan orang Terengganu sebagai Pantai Airport memandangkan lokasinya yang hanya bersebelahan dengan Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Pantai Pandak mempunyai pesisiran pantai yang lapang & lebih panjang berbanding pantai popular lain di Kuala Terengganu. Terdapat pelbagai kemudahan awam seperti wakaf rehat, taman permainan kanak-kanak, medan selera & sebagainya. Jika lapar, cubalah berkunjung ke beberapa warung yang berdekatan yang popular dengan menu popular orang Terengganu iaitu, sotong celup tepung.
[ baca seterusnya.. ]

Alamat: Pantai Teluk Ketapang, Kuala Terengganu, 21300, Terengganu
Waktu Operasi: 24 jam
Harga Tiket: Percuma


12. Pantai Seberang Takir

Sebuah pantai panjang yang sangat popular di kalangan penduduk setempat untuk bersiar-siar. Pantai ini dikomersialkan sejak pembinaan Draw Bridge Terengganu & ada yang mengenali pantai ini sebagai Pantai Miami Terengganu kerana keindahannya yang setara Miami Beach di US. Jika anda menginap di hotel sekitar Kuala Terengganu & teringin beriadah, apa kata terokai trek jalan kaki yang panjang di Pantai Takir Bay ini. Ombak yang deras & angin yang kuat akan menemani anda di sepanjang larian anda. Di sepanjang tebing pantai ini, terdapat bongkah-bongkah batu yang dijadikan benteng daripada hakisan ombak. Satu tempat menarik di KT yang sangat ideal untuk anda seisi keluarga bersantai petang.
[ baca seterusnya.. ]

Alamat: Pantai Seberang Takir/ Takir Bay (Miami Beach), Kuala Terengganu, 21300, Terengganu
Waktu Operasi: 24 jam
Harga Tiket: Percuma


13. Taman Awam Lagun Kuala Ibai

kuala ibai honeymoon terengganu

foto kredit : isa photography

Taman awam ini hanya terletak bersebelahan dengan Masjid Terapung Kuala Ibai. Lokasi taman awam ini dengan landskapnya yang damai membuatkan ianya sering menjadi tempat riadah petang warga setempat. Taman Awam Lagun Kuala Ibai mempunyai rimbunan pokok-pokok rhu yang banyak & sangat redup walaupun pada waktu tengahari. Lebih unik, kedudukannya yang berada di tepi muara sungai & di tepi pantai membolehkan anda merasai suasana 2 dalam 1, suasana tepi sungai & suasana tepi pantai. Muara Kuala Ibai juga sangat cetek & kadang-kadang boleh melihat penduduk kampung berjalan di atas muara ini untuk menjala ikan. Waktu hujung minggu juga lebih meriah kerana adanya penjual jalanan yang berniaga makanan santai orang setempat seperti keropok lekor, satey ikan, aiskrim & sebagainya.
[ baca seterusnya.. ]

Alamat: Taman Awam Lagun Kuala Ibai, 20400, Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: 24 jam
Harga Tiket: Percuma


14. Kuala Terengganu Waterfront

Ada beberapa destinasi menarik di Kuala Terengganu yang boleh anda santai petang atau malam bersama keluarga. Salah satunya adalah Kuala Terengganu Waterfront yang terletak bersebelahan dengan Hotel Felda Residence. Kedudukannya yang di tepi Sungai Terengganu menjadikan KT Waterfront ini sangat ideal untuk anda riadah petang & terdapat juga taman permainan kanak-kanak yang tidak kurang menariknya. Landskap taman yang terjaga & suasana sekeliling yang berangin sangat menenangkan buat sesiapa yang sesekali teringin merehatkan minda dari kesibukan kota. Waktu malam pula, anda boleh makan malam di restoran popular berdekatan waterfront ini bersama keluarga.
[ baca seterusnya.. ]

Alamat: KT Waterfront, Jalan Balik Bukit, 20300 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: 24 jam
Harga Tiket: Percuma


15. Pantai Tok Jembal

pantai tok jembal terengganu

foto kredit: azura aziz

Pantai Tok Jembal terletak kira-kira 20 minit memandu dari Bandar Kuala Terengganu. Lokasi pantai ini lebih ke arah pedalaman & berada di kawasan kampung. Suasana sekeliling Pantai Tok Jembal juga berbeza berbanding Pantai Batu Burok kerana terasa lebih asli & tidak diusik pembangunan sekeliling yang pesat. Waktu malam, Pantai Tok Jembal sering dikunjungi oleh warga setempat untuk bersantapan kerana terdapat beberapa restoran & tempat makan menarik yang sangat popular. Antaranya ialah Uptown Kontena, yang merupakan sebuah medan makan yang berkonsepkan kontena. Suasananya makan di sini sangat santai & sangat sejuk terutamanya pada waktu malam.
[ baca seterusnya.. ]

Alamat: Pantai Tok Jembal, 21300, Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: 24 jam
Harga Tiket: Percuma


16. Bukit Besar

bukit besar kuala terengganu

foto kredit: faza aziz

Jika anda sukakan aktiviti lasak seperti mendaki bukit, apa kata cuba ke Bukit Besar. Bukit Besar merupakan destinasi yang sangat popular di kalangan warga setempat untuk melakukan aktiviti riadah waktu petang atau pada hujung minggu. Anda boleh berjogging menaiki Bukit Besar ini melalui jalan raya yang tersedia atau melalui denai-denai hutan. Cabaran untuk ke puncak bukit ini tidaklah terlalu sukar & destinasi ini sangat ideal untuk sesiapa sahaja walaupun ada bukannya seorang pakar dalam pendakian. Panorama dari puncak Bukit Besar memang sangat mempersonakan di mana anda boleh lihat majoriti tarikan pelancongan yang ada di Kuala Terengganu seperti Masjid Kristal, Terengganu Draw Bridge & sebagainya.
[ baca seterusnya.. ]

Alamat: Jalan TM Bukit Besar, 21100 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: pagi-petang
Harga Tiket: Percuma


17. Istana Maziah

istana maziah kuala terengganu

foto kredit: saya pull

Destinasi ini menjadi popular bukan kerana ianya sebuah istana yang boleh pengunjung masuk seperti di Muzium Diraja Negara di Kuala Lumpur. Istana ini merupakan sebuah kediaman diraja yang terletak di tengah-tengah Bandar Kuala Terengganu. Lokasinya juga bersebelahan dengan Pasar Kedai Payang & berhadapan dengan Jeti Shahbandar. Jika anda sedang mundar mandir sekitar kawasan ini, bolehlah bergambar di pintu gerbang utamanya untuk dijadikan kenangan percutian anda di Kuala Terengganu.
[ baca seterusnya.. ]

Alamat: Jalan Sultan Zainal Abidin, Kampung Panglima, 20000 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: 24 jam
Harga Tiket: Percuma


18. Masjid Abidin / Masjid Putih

Jika anda gemar menghayati sejarah sesuatu negeri, Masjid Abidin ini adalah salah satu destinasi yang disyorkan untuk anda kunjungi. Lokasinya juga di tengah Bandar KT & hanya jalan kaki dari Stesen Bas Kuala Terengganu. Masjid yang menyimpan 1001 sejarah ini telah dibina sekitar tahun 1793 oleh Al-Marhum Sultan Zainal Abidin ke 2. Walaupun sekarang Masjid Abidin ini telah nampak moden selepas penambahbaikan, tetapi masih ada beberapa bahagian asal yang masih kekal menjadi tatapan pengunjung. Dari dahulu sampai sekarang, masjid yang turut dikenali sebagai Masjid Putih ini bukan sahaja menjadi tempat menunaikan solat semata-mata, malah turut menjadi pusat ilmu yang telah melahirkan ramai tokoh agamawan dalam Negeri Terengganu.
[ baca seterusnya.. ]

Alamat: Masjid Abidin (Masjid Putih), Jalan Masjid Abidin, 20000 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: 6am – 11pm
Harga Tiket: Percuma


19. Bukit Puteri

bukit puteri kuala terengganu

foto kredit: amazing terengganu

Fungsi Bukit Puteri adalah sama seperti Kota A Famosa di Melaka, cuma dalam skala yang lebih kecil. Lokasi Bukit Puteri yang berbukit & di kawasan muara Sungai Terengganu menjadikannya tempat yang strategik untuk berfungsi sebagai kubu pertahanan satu masa dahulu. Jika anda sedang bersiar-siar sekitar Dataran Shahbandar atau shopping di Pasar Besar Kedai Payang, bolehlah jalan kaki ke sini & menaiki anak tangga untuk sampai ke puncak Bukit Puteri. Jangan risau, bukit ini sangat rendah & tidak perlukan stamina yang tinggi. Di atas Bukit Puteri mempunyai beberapa laras meriam lama yang kini menjadi sebahagian tarikan untuk pengunjung. Pemandangan dari atas Bukit Puteri ini juga tidak kurang menariknya jika anda ingin menikmati keindahan muara Sungai Terengganu & Laut China Selatan.
[ baca seterusnya.. ]

Alamat: Jalan Sultan Zainal Abidin, Kampung Panglima, 20200 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: 9am – 5pm ( Sabtu-Khamis) | 9am-12pm (Jumaat)
Harga Tiket: Dewasa RM 1 | Kanak² RM 0.50


21. Masjid Kampung Seberang Takir

masjid kampung seberang takir terengganu

foto kredit: wan mohd helmi

Masjid yang baru siap ini bakal menjadi sebuah lagi masjid ikonik di Kuala Terengganu. Lokasinya yang betul-betul berada di sebelah Sungai Terengganu membuatkan masjid ini kelihatan terapung & cantik terutamanya pada waktu senja. Dataran di luar masjid ini yang berada di atas sungai menjadi tempat ini satu ‘port’ terbaik jika anda ingin merakam foto ketika matahari terbenam. Warna utama masjid ini yang putih minimalis & kubahnya yang bersegi menjadinya sebuah masjid yang tampak lain daripada yang lain. Anda boleh ke sini dengan memandu melalui Terengganu Drawbridge atau pun menaiki bot penambang yang terletak berdekatan Jeti Shahbandar.
[ baca seterusnya.. ]

Alamat: Masjid Kg Seberang Takir, Jalan Fikir, Kampung Seberang Takir, 21300 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: 6 am – 11 pm
Harga Tiket: Percuma


21. Bot Penambang

Sebelum wujudnya Jambatan Sultan Mahmud & Terengganu Drawbridge, Bot Penambang adalah pengangkutan utama untuk masyarakat setempat berulang alik dari Seberang Takir ke Kuala Terengganu. Walaupun zaman berganti zaman, aktiviti pengangkutan bot penambang masih lagi kekal di Sungai Terengganu. Jika anda ingin mencari pengalaman baru ketika bercuti di Kuala Terengganu, cubalah naik bot ini menuju ke Seberang Takir untuk membeli keropok atau berkunjung ke Masjid Seberang Takir. Seronok sebenarnya merasai pengalaman menaiki bot ini kerana rekabentuk botnya yang unik & rendah. Jadi boleh lihatlah Sungai Terengganu dengan lebih dekat.
[ baca seterusnya.. ]

Alamat: Jeti Bot Penambang (pesisir payang), 21300 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: 6 am – 6 pm
Harga Tiket: RM 1 sehala


22. Kota Lama Duyong

tempat bersejarah kuala terengganu

foto kredit: amazing terengganu

Sebuah tempat bersejarah di Kuala Terengganu yang pasti tidak mahu anda lepas untuk melawati. Kota Lama Duyong ini merupakan sebuah rumah tradisional Terengganu klasik yang masih mengekalkan struktur binaan asal. Uniknya, walaupun majoriti bahan binaan adalah kayu, tetapi ada juga kawasan yang bersimen. Sebenarnya, binaan berkonkrit tersebut adalah campuran pasir, batu kelikir, putih telur & tanah liat yang merupakan salah satu teknik membuat konkrit bangunan satu masa dahulu sebelum wujudnya simen. Jika anda seorang yang begitu obses dengan sejarah, sangat disyorkan untuk bertandang ke sini melihat sendiri warisan sejarah yang tidak ternilai harganya.
[ baca seterusnya.. ]

Alamat: Kota Lama Duyong, Pulau Duyung Kecil, 20100 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: 8 am – 5 pm (Sabtu-Khamis) | Jumaat tutup
Harga Tiket: Percuma


23. Kompleks Noor Arfa Batik

tempat shopping kuala terengganu

foto kredit: noor arfa batik

Jika anda peminat  tegar batik & sutera, jenama Noor Arfa pasti sudah biasa anda dengar bukan ? Alang-alang sudah bercuti ke Kuala Terengganu, apa kata anda ke Kompleks Noor Arfa Batik yang terletak di Chendering untuk aktiviti membeli belah. Pilihan fabrik, batik & pakaian wanita di sini memang sangat banyak dengan motif yang lain daripada yang lain. Jika anda mencari batik atau pakaian yang berkualiti untuk dijadikan koleksi peribadi atau hadiah istimewa untuk yang tersayang, sangat disyorkan untuk bertandang ke sini. Paling menarik, anda bukan sahaja boleh membeli belah, malah boleh lihat demo pembuatan batik, mencanting batik, cara anyaman & sebagainya secara ‘live’.
[ baca seterusnya.. ]

Alamat: Kota Lama Duyong, Pulau Duyung Kecil, 20100 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: 9 am – 6 pm
Harga Tiket: Percuma


24. Kampung Cina Kuala Terengganu

chinatown kuala terengganu

foto kredit: luke loke

Dah puas makan-makan di Kuala Terengganu ? Apa kata kali ini ada bersenam sedikit membakar lemak dengan berjalan kaki menyelusuri Kampung Cina Kuala Terengganu atau juga dikenali sebagai KT Chinatown. Lokasi Kampung Cina ini hanya bersebelahan dengan Pasar Kedai Payang lama & anda boleh jalan kaki melihat keindahan bangunan-bangunan berbudayakan orang Cina di sepanjang jalan ini. Sesuai untuk berfotografi di samping mencari barang-barang ‘rare’ yang boleh dijadikan koleksi peribadi anda.
[ baca seterusnya.. ]

Alamat: China town KT, Jalan Kampung Cina, 20100 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: 24 jam
Harga Tiket: Percuma


25. Pulau Warisan Kuala Terengganu

Anda mencari tempat menarik di Kuala Terengganu waktu malam untuk lepak-lepak & bergosip ? Nah, apa kata anda ‘tapau’ makanan & berkunjung ke sini bersama rakan-rakan pada waktu pagi atau malam. Kawasan yang lapang & berangin ini memang menjadi tempat feveret warga muda mudi lepak serta menikmati kedamaian bayu laut. Tidak kurang juga yang datang ke sini untuk memancing ikan, Waktu malam, waterfront di Pulau Warisan ini lebih ceria kerana dihiasi dengan lampu neon warna warni seakan-akan I-City di Shah Alam. Bolehlah ‘berselfie’.
[ baca seterusnya.. ]

Alamat: Pulau Warisan, 20300 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: 24 jam
Harga Tiket: Percuma


26. Payang Memory Lane

lorong kenangan kedai payang lane

kredit: solo arya

Dahulunya lorong-lorong ini hanyalah lorong belakang bangunan biasa-biasa sahaja. Namun kini, 7 lorong belakang yang terletak di Kampung Cina berubah 360 darjah menjadi salah satu tempat menarik di Kuala Terengganu untuk fotografi. Setiap lorong ini mempunyai tema hiasan & motif muralnya yang tersendiri. Kebanyakannya berkisarkan tentang sejarah kesenian & kebudayaan orang Cina di Terengganu. Lokasinya bersebelahan sahaja dengan Pasar Kedai Payang & hanya jalan kaki jika anda sedang bersiar-siar di dataran Pulau Warisan.
[ baca seterusnya.. ]

Alamat: Payang Memory Lane, Jalan Kampung Cina, Kampung Banggul, 20100 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: 24 jam
Harga Tiket: Percuma


27. KT Walk Uptown

kt walk kuala terengganu

kredit: razali jusoh

Jika anda bercuti di Kuala Terengganu pada hari Jumaat, bolehlah datang ke pasar malam yang berkonsepkan ‘uptown’ ini. Umumnya, KT Walk Uptown boleh dibahagikan kepada tiga segmen jualan iaitu produk hasil tani, makanan tradisional Terengganu & produk kraftangan. Memang sesuai sangatlah jika anda ke sini, boleh lakukan aktiviti ‘jalan jalan cari makan’ di Kuala Terengganu & juga membeli belah barangan kraftangan. Jika bernasib baik, pengunjung juga boleh melihat persembahan kebudayaan, pameran & ‘street show’. Pasar malam ini hanya berlangsung seminggu sekali & sangat disyorkan untuk dikunjungi dalam misi  menerokai keunikan budaya masyarakat Terengganu.
[ baca seterusnya.. ]

Alamat: Jalan Sultan Ismail, 20200 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: 5 pm – 11 pm ( Jumaat)


Nah, banyak bukan tempat menarik & aktiviti menarik yang boleh dilakukan di Kuala Terengganu ? Jadi, rancanglah jadual perjalanan anda di Kuala Terengganu untuk memaksimakan masa percutian anda di sini kelak. BEREH BOH !!